Tuesday, May 27, 2008

Budak Dahulu dan Sekarang

Saban hari kita sering mendengar tentang masalah sosial yang melanda masyarakat kita pada hari ini. Buka sahaja mana-mana akhbar nasional baik yang menyokong, menentang ataupun kononnya neutral dengan agenda kerajaan,masalah sosial acapkali menjadi icip-icip orang ramai. Namun masing-masing mempunyai alasan mereka tersendiri akan berlakunya fenomena ini. Tetapi sama ada kita terfikir kualiti anak-anak muda masa kini lebih teruk berbanding dengan mereka yang pernah muda suatu masa dahulu? Mungkin saya silap, tetapi jika difikirkan peluang pendidikan masyarakat dahulu lebih sukar berbanding sekarang dengan beberapa IPTA dan beratus-ratus IPTS sama ada diiktiraf atau tidak oleh MQA.

Mungkin para pembaca setuju atau tidak dengan pernyataan saya ini bahawa sistem pendidikan dahulu mempunyai alat bantuan pengajaran yang kurang dari segi teknologinya tetapi berkesan dari sudut rohani, jasmani, serta mentaliti. Bukankah Falsafah Pendidikan Negara ada menyebut tentang 3 perkataan tersebut? Alat bantuan pengajaran tersebut adalah ROTAN. Ya, rotan. Mengapa? Tidak percaya? Mari kita menyelusuri masyarakat dahulu. Memang tahap penerimaan pelajar ( dahulunya dikenali sebagai murid-murid ) berbeza. Ini disebabkan tahap perkembangan otak bergantung kepada kehidupan sekelilingnya. Antaranya budaya, pemakanan, kepercayaan ( saya tumpukan kepada Agama ) dan lain-lain lagi. Lihat sahaja, anak-anak yang diberi dengan makanan yang sihat seperti susu, kismis, dan segala macam mak nenek lagi terbuka dari segi penerimaan ilmu yang dipelajarinya berbanding anak-anak yang makan makanan yang kurang dari segi zatnya. Bukan bermakna mereka yang kurang zat ini tidak cerdik, kerana ada diantaranya pegawai berjawatan tinggi seperti Ketua Pengarah Eksekutif syarikat ini berasal dari keluarga yang miskin berjaya tetapi jumlahnya mungkin sedikit.

Kebiadaban anak-anak muda masa kini makin membimbangkan walaupun jumlahnya tidaklah mengancam keselamatan Negara sehinggakan didakwa di bawah Akta ISA. Walaupun pelbagai tomahan yang kita dengar berkaitan dengan akta tersebut tetapi kalau difikirkan secara logik, jikalau kita tidak berbuat salah mengapa kita harus takut dengannya, begitu? Maaf, saya tidak akan memohon maaf sekiranya saya menggunakan perkataan ‘kebiadaban’ dalam penulisan saya. Bukan ego, tetapi itulah realiti yang harus diterima oleh masyarakat dewasa berkenaan dengan tajuk yang saya tulis ini. Dalam keadaan dimana kita harus menggunakan rotan, mengapa kita hanya perlu mencubit perut? Pada hemat saya, adalah menjadi satu kesilapan rotan kini menjadi kurang peranannya dalam sistem pendidikan. Alat bantuan mengajar ini seharusnya menjadi alat untuk proses pembelajaran kita dan seharusnya menjadi pegangan jikalau kita tidak berbuat silap, kenapa kita perlu takut dengan rotan. Akhirnya yang terjadi dalam senario pembelajaran kini ialah’ tiada rotan, anak-anak tidak berguna lagi’.

Saya lahir di dalam suasana dimana era rotan-merotan ini berada dipenghujungnya. Masih teringat lagi di mana guru besar yang lagaknya seperti ahli sumo tempatan melintas antara darjah ( kini disebut sebagai kelas ) tergedik-gedik ditangannya yang dikilaskan ke belakang dengan rotan. Begitu juga dengan ustaz dan ustazah yang mengajar saya di sekolah agama yang tiada berpisahnya dengan dirinya iaitu ‘roti panjang’nya. Saya kurang pasti juga sama ada alam pendidikan yang saya lalui itu benar-benar efektif atau reaktif. Saya tidak punya hak untuk mengupasnya lebih lanjut bagi pihak sendiri. Masuk lif tekan sendiri itu kerja orang politik, sama ada yang memimpin atau pun membangkang. Apa yang pasti sehingga kini saya tidak pernah merokok dihadapan guru-guru saya serta pensyarah-pensyarah saya. Walaupun sudah lama saya berhenti merokok, bagi saya perbuatan tersebut bukanlah berpura-pura baik atau bahasa canggihnya hipokrit dengan orang yang pernah mendidik saya. Tetapi bak kata orang-orang tua berani dan berterus terang harus kena pada tempatnya. Bukankah menjadi bodoh sekiranya dikatakan berani, sanggup berak di tengah-tengah orang ramai. Cukuplah setakat ini kita berani melihat orang lain dengan beraninya mendedahkan bahagian-bahagian yang hampir sulit di badan mereka itu kepada khalayak ramai.

Milenium ini, rotan panjang hampir-hampir pupus penggunaannya. Walaupun kita masih lagi mampu membelinya di kedai-kedai perabot sebagai jualan sampingan mereka. Guru dan ibu bapa kini tidak lagi menyentuhnya. Anak-anak tidak perlu diceritakan lagi. Mungkin bayangnya pun tidak pernah tengok. Maaf saya bergurau lagi. Kita meninggalkan rotan adalah kerana kita sudah kehadapan. Adalah menjadi perbuatan ketinggalan zaman sekiranya aktiviti rotan-merotan ini berlaku. Bak kata orang-orang yang kononnya dirinya sudah maju dengan slanga bahasa Melayunya bercampur dengan bahasa Inggeris tidak lagi menghayun rotan untuk mengajar dan menghukum. Kini mereka ada senjata yang menggantikannya iaitu PSIKOLOGI. Jikalau ada anak-anak yang mengalami masalah, selesaikan dengan cara yang lebih baik. Adakan sessi soal-jawab, dan fahami akar umbi masalahnya walaupun budak-budak kini sudah pandai menjawab! Kemudian dipanggilnya seorang manusia berjawatan guru kaunseling. Tetapi apa yang saya nampak ramai kenalan saya berjawatan tersebut, akhirnya terpaksa meminta kaunseling daripada orang lain. Pembaca carilah sendiri sebabnya.

Mungkin saya terkhilaf. Tetapi apa yang saya lihat adalah anak-anak muda kini seolah-olah mempunyai satu bentuk kuasa imuniti yang luar biasa. Mengalahkan kuasa raja-raja yang kini tertakluk juga didalam perlembagaan dan undang-undang Negara Malaysia. Anak-anak kini tidak boleh lagi ditegur oleh mana-mana pihak yang berhak menegurnya. Ibu bapa kini sudah tidak lagi boleh memuku anak walaupun niat untuk mengajar supaya tidak menjadi kurang ajar kerana akibat tersalah sepak pipi, muka ibu bapa terbabit mungkin terpampang di dada akhbar kerana didakwa atas kesalahan mendera. Padahal, ini tidak pernah terjadi suatu ketika dahulu. Ibu bapa berhak ke atas anak-anak mereka.

Hasilnya? Kita akan akan terus melahirkan anak-anak muda yang kerja mereka ‘mengajar’ ibu bapa mereka. Saban kini, generasi X yang dilahirkan ini menjadi genrasi yang kebal dan bebal ini bercambah dengan subur. Ini disuburkan lagi dengan segala macam bentuk elemen dalam dan luar yang tidak jemu-jemu mengasuh mereka supaya menjadi ‘manusia’. Sebahagian besar anak-anak muda kini sudah tidak takut apa-apa. Segala jenis bentuk jin, hantu, polong, pocong, pontianak, serta bermacam-macam lagi entiti paranormal yang masyarakat kini sanggup mencarinya, anak-anak muda kini tidak lagi takut dengannya bukan kerana berani tetapi mereka menjadi sebahagian daripadanya. Samalah bagi mereka yang suka merempit dan menghisap dadah baik cara lama ataupun sintetik. Yalah, apa lagi yang harus mereka takuti kerana mati jikalau sebenarnya mereka sudah pun mati jiwa dan raganya.